KAUNSELOR, SAYA NAK TAHU! SAYA RASA SAYA ADA MASALAH KESIHATAN MENTAL, BETUL KE KAUNSELOR? | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » KAUNSELOR, SAYA NAK TAHU! SAYA RASA SAYA ADA MASALAH KESIHATAN MENTAL, BETUL KE KAUNSELOR?

KAUNSELOR, SAYA NAK TAHU! SAYA RASA SAYA ADA MASALAH KESIHATAN MENTAL, BETUL KE KAUNSELOR?

OLEH : PUAN KEMELIA OMAR K.B,P.A

Terima kasih atas pertanyaan saudara.

Sebelum kita memahami tentang masalah kesihatan mental, adalah lebih baik jika kita terlebih dahulu memahami konsep kesihatan mental. Terdapat perbezaan yang besar di antara kesihatan mental dan penyakit mental. Oleh itu, kita tidak seharusnya menggunakan istilah ini secara tukar-ganti.

Seseorang individu yang normal mungkin tidak mempunyai kesihatan mental yang baik pada setiap masa, tetapi masih lagi berupaya untuk melakukan aktiviti seharian seperti biasa. Berlainan pula dengan mereka yang mempunyai penyakit mental, dimana fungsi seharian mereka akan terjejas. Secara umumnya, kesihatan mental merupakan gambaran tahap kesejahteraan pemikiran dan emosi seseorang.

Perkara penting yang perlu diambil perhatian adalah untuk tidak menyembunyikan apa yang dialami. Jika perasaan dan keadaan tersebut terus disimpan seorang diri, lama-kelamaan ia akan memakan diri sendiri.

Gejala dan tanda-tanda kesihatan mental yang terjejas boleh timbul akibat dari tekanan secara fizikal, sosial dan persekitaran. Ia terjadi apabila seseorang itu mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri atau menangani tekanan. Ia boleh mempengaruhi kesihatan fizikal dan boleh menjadi di luar kawalan. Ini akan menyebabkan keadaan fizikal dan emosi seseorang itu terjejas.

Tiga bahagian utama yang mungkin terjejas iaitu fisiologi, tingkah laku dan psikologi. Dari segi fisiologi, ia menyebabkan seseorang itu cenderung untuk mendapat atau memburukkan lagi penyakit fizikal seperti penyakit jantung dan darah tinggi, menyebabkan sakit kepala dan kesakitan otot.

Manakala, tingkah laku pula akan mengakibatkan prestasi kerja menurun, cenderung untuk mengalami kemalangan, tidak hadir bertugas, bertindak agresif dan mudah marah, sukar membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.

Dari segi psikologi, kemungkinan akan timbul rasa tidak puas hati, mudah terasa, murung dan berasa penat secara emosi. Antara gejala biasa yang menunjukkan kesihatan mental terjejas adalah panas baran, sukar tidur, hilang selera makan, turun berat badan, gemuruh, berdebar-debar dan tidak bersemangat.

Sekiranya saudara mengalami gejala seperti yang dinyatakan di atas, saya menyarankan agar saudara segera mendapatkan perkhidmatan profesional kaunselor di Bahagian Kaunseling UPM. Melalui sesi kaunseling yang dijalankan, saudara berpeluang mengetahui tahap kesihatan minda melalui Ujian Saringan DASS 21 yang dikendalikan oleh kaunselor berdaftar.
Melalui ujian ini, saudara boleh mengetahui tahap kemurungan, kebimbangan dan stres. Walaubagaimanapun, ujian ini hanyalah berfungsi sebagai saringan awal dan pengesahan diagnosis oleh pegawai perubatan (psikiatri) adalah diperlukan.

Sekiranya ada keperluan untuk mendapatkan perkhidmatan psikiatri, kaunselor akan membantu saudara untuk mendapatkan perkhidmatan pakar psikiatri di Jabatan Psikiatri, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS). Perlulah diingatkan bahawa kesegeraan individu yang memerlukan bantuan dan rawatan awal berkaitan kesihatan mental akan membantu kesembuhan dengan lebih cepat. Semoga bermanfaat!

Tarikh Input: 27/10/2023 | Kemaskini: 27/10/2023 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEdAAc~