KAUNSELOR, SAYA NAK TAHU! SAYA TAK FAHAM KENAPA KAWAN SAYA PERANGAI MACAM TU? | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » KAUNSELOR, SAYA NAK TAHU! SAYA TAK FAHAM KENAPA KAWAN SAYA PERANGAI MACAM TU?

KAUNSELOR, SAYA NAK TAHU! SAYA TAK FAHAM KENAPA KAWAN SAYA PERANGAI MACAM TU?

OLEH : ANIS AKMILAH BINTI MAT HASSAN K.B,P.A

Begini jawapannya ………..

Setiap daripada kita mempunyai perangai yang berbeza-beza. Sungguhpun dalam kalangan 5 orang adik beradik yang berkongsi ibu dan bapa yang sama juga pastinya mempunyai perangai yang berbeza antara satu sama lain. Inikan pula kawan yang anda baru kenali yang mempunyai latar belakang, didikan dan nilai yang berbeza. Dalam istilah psikologi, perangai, sikap atau tabiat tingkah laku seseorang dikenali sebagai personaliti. Dalam konteks psikologi pula setiap personaliti mempunyai kekuatan, potensi dan kebaikan masing-masing. Malah personaliti ini menggambarkan sikap seseorang apabila berhadapan dengan seseorang yang lain. Kalau anda ingin tahu, personaliti juga boleh diukur melalui alat pengujian dan pengukuran psikologi bagi membolehkan seseorang memahami dengan lebih jelas mengenai personaliti dirinya dan orang lain.

Kaunselor ingin berkongsi mengenai salah satu alat pengujian dan pengukuran psikologi iaitu Personaliti Warna yang membincangkan 4 jenis personaliti iaitu Personaliti Emas, Personaliti Biru, Personaliti Jingga dan Personaliti Hijau. Selepas ini, anda boleh memahami kawan anda dengan lebih baik apabila faham tentang konsep personaliti ini. Jom kita tengok!

Personaliti Emas
Personaliti emas digambarkan sebagai seorang yang suka merancang, tradisional dan suka melindungi. Personaliti emas cenderung untuk merancang setiap aktiviti yang akan dilakukan dan lebih sukakan kerja-kerja rutin. Seorang yang boleh bekerja secara solo dan mementingkan kesempurnaan dalam kerja-kerja yang dilakukan. Boleh bekerja dalam komuniti namun memerlukan masa untuk mengurus dirinya.

Personaliti Biru
Sama seperti personaliti emas, personaliti biru adalah seseorang yang suka bekerja bersama komuniti. Sifat personaliti biru yang ramah dan lembut membuatkan orang lain senang dan seronok bersama mereka. Personaliti biru yang lebih bersifat pengikut dan lebih gemar menjadi ketua yang demokratik. Kekuatan individu berpersonaliti biru adalah komunikasi. Mereka mempunyai kekuatan dalam berbicara dan disenangi ramai.

Personaliti Jingga
Personaliti jingga dikenali sebagai pemecah kesunyian. Sifat periang personaliti jingga membuatkan dirinya sering menjadi tumpuan. Individu personaliti jingga dikenali sebagai orang yang paling bersemangat dan spontan dalam membuat keputusan. Kekuatan personaliti jingga adalah sifat berani dan seorang yang suka mencari peluang menjadikannya orang yang mudah untuk menerima sesuatu pembaharuan.

Personaliti Hijau
Bagi personaliti hijau, sifatnya yang suka berfikir, logik dan teliti menjadikannya seperti pepatah diam-diam ubi berisi. Individu berpersonaliti hijau sering dijadikan sumber rujukan. Ini adalah kerana sifatnya yang sukakan ilmu dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa. Individu personaliti hijau lebih cenderung untuk fokus kepada kerja berbanding menjaga emosi.

Berdasarkan keempat-empat jenis personaliti yang telah kaunselor huraikan, boleh anda kenalpasti kawan anda berpersonaliti yang mana? Untuk pengetahuan anda, personaliti seseorang boleh berubah mengikut keadaan semasa. Seseorang yang ceria dan peramah mungkin boleh berubah menjadi seorang pendiam apabila dipengaruhi oleh faktor persekitaran. Perubahan yang berlaku tidaklah terlalu ketara, namun boleh dikenalpasti. Anda pula bagaimana?

Tarikh Input: 30/03/2023 | Kemaskini: 30/03/2023 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEcCAf~