MENCARI TITIK KESEIMBANGAN KERJA DAN KERJAYA | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » MENCARI TITIK KESEIMBANGAN KERJA DAN KERJAYA

MENCARI TITIK KESEIMBANGAN KERJA DAN KERJAYA

Penulis : Kamariah binti Derasol K.B,P.A


Manusia dilahirkan dengan fitrah menjadi khalifah di muka bumi ini oleh Allah Yang Maha Esa. Dalam menjalankan peranan sebagai khalifah di muka bumi, ada yang dilorongkan mencari rezeki melalui pekerjaan. Dengan pekerjaan tersebut nafkah keluarga dapat ditunaikan, keinginan diri dan keluarga dapat dipenuhi.

Namun begitu, setiap pekerjaan pasti ada cabarannya. Dan cabaran boleh hadir dalam bentuk berbeza – beza mengikut individu, situasi dan bidang pekerjaan. Bagi mereka yang telah berumahtangga, wujud cabaran dari segi konflik masa dan peranan sebagai pekerja dan tonggak dalam keluarga.

Bagi menangani cabaran ini, titik keseimbangan antara kerjaya dan keluarga perlu dicari koordinatnya agar rumah tangga kekal harmoni dan kerja kekal berprestasi. Berikut dikongsikan beberapa panduan, semoga bermanfaat untuk diamalkan.

1. Tuliskan masalah yang merunsingkan fikiran.
Ada individu yang merasa runsing dan risau, tetapi tidak mengetahui punca yang menyebabkan dirinya risau. Tak kurang juga yang mudah marah dan rasa tertekan, seolah-oleh tidak difahami. Duduklah sebentar bersendirian, atur pernafasan sehingga tenang dan tuliskan jawapan kepada soalan – soalan ini. Jawablah dengan jujur, semoga ianya memberi gambaran dan kejelasan terhadap jerebu perasaan yang merunsingkan fikiran.
Latihan menulis ini akan lebih bermanfaat apabila anda berkongsi dengan kaunselor mengenai perasaan yang timbul apabila menulis pernyataan dan menjawab persoalan yang diberikan.
Latihan ini membantu ada mengenal pasti rasa bersalah, kekecewaan, kepenatan emosi yang mungkin selama ini tidak terluah dek menjaga perasaan orang lain. Ataupun tidak memperdulikan perasaan sendiri, hidup sekadar satu rutin yang berterusan tanpa henti.

2. Baiki komunikasi dengan ahli keluarga
Setelah masalah ditulis dan dikenalpasti, pilihlah perkara yang boleh dibawa bincang dengan ahli keluarga. Adakah solusinya dengan memerlukan lebih ruang masa? Masa bersendirian? Bantuan ahli keluarga? Sumber kewangan? Agihan tugas?
Ada kalanya apabila kita terlalu tenggelam dengan urusan seharian, akhirnya akan terjebak dalam permainan ‘andaian’. Lebih berbahaya, menganggap pasangan dan ahli keluarga memahami tanpa mereka mengetahui apa yang sepatutnya mereka ketahui dan lakukan.

Dalam hal ini, komunikasi dapat membantu mendekatkan jurang kefahaman dan mengurangkan andaian dan ekspektasi. Ekspektasi tanpa dikomunikasikan umpama mengharapkan kereta bergerak tanpa menentukan destinasi.
Dengan memperbaiki komunikasi juga, lebih banyak ruang penyelesaian masalah dapat diteroka bersama. Dalam hal ini, leburkan ego untuk bertanya dan mengaku kekurangan diri. Pasangan yang baik pasti menghargai dan sedia membantu apabila diberi kepercayaan untuk memberi pandangan.

3. Letakkan had
Sama ada pekerjaan ataupun keluarga, kedua-duanya memerlukan pengorbanan. Namun begitu, perlu letakkan had agar kedua-duanya dapat diseimbangkan tanpa mengambil mana-mana hak. Contohnya, elakkan melakukan hal keluarga semasa bekerja, ambillah cuti dan uruskan sebaiknya. Sebaliknya, apabila bersama keluarga, elakkan mengambil masa bersama anak-anak dengan melakukan tugasan pejabat. Ingatlah bahawa, tujuan kita bekerja untuk membahagiakan keluarga. Dan bukannya keluarga membahagiakan pekerjaan kita. Apapun cabaran yang ada, peganglah tujuan kehidupan sebagai hamba Tuhan yang mencari redha-Nya dalam apa yang dilakukan.

Tarikh Input: 31/07/2023 | Kemaskini: 31/07/2023 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEcBAE~