MINDFULNESS LEADERSHIP: KUNCI KEJAYAAN SEORANG PEMIMPIN | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » MINDFULNESS LEADERSHIP: KUNCI KEJAYAAN SEORANG PEMIMPIN

MINDFULNESS LEADERSHIP: KUNCI KEJAYAAN SEORANG PEMIMPIN

Penulis : Dr. Mazila binti Ghazali K.B,P.A

 

KEPEMIMPINAN pada dasarnya adalah seni mempengaruhi orang lain. Akan tetapi, tidak mudah untuk mempengaruhi orang untuk bergabung mencapai tujuan kita. Dalam psikologi, kepemimpinan dianggap sebagai proses interaksi antara pemimpin dan pengikut. Ada berbagai teori psikologi yang menjelaskan bagaimana kepemimpinan terjadi dan bagaimana ia mempengaruhi pekerjaan dan pasukan.

Psikologi kepemimpinan juga mengeksplorasi bagaimana faktor-faktor individu dapat mempengaruhi kemampuan seseorang untuk menjadi pemimpin yang efektif. Beberapa faktor yang dianggap penting termasuklah kepercayaan diri, kemampuan berkomunikasi, pengurusan terbaik, dan empati. Secara keseluruhan, psikologi kepemimpinan membantu kita untuk memahami bagaimana proses kepemimpinan terjadi dan bagaimana itu memengaruhi pekerjaan individu dan pasukan.

Saya kongsikan kisah Amira. Amira seorang pemimpin pelajar yang pernah menghadapi masalah dalam kepimpinan. Beliau bercerita bagaimana susahnya dia untuk menangani anak buah yang dipimpinnya. Menurutnya, pelbagai ragam anak buahnya, ada yang tidak berdisiplin, ada yang toksik dalam organisasi, ada yang suka menyampaikan perkara yang tidak betul dan ada juga yang turut menyebar fitnah secara senyap terhadap dirinya. Saya mendengar dengan penuh ketelitian setiap perkara tersebut. Saya faham apa perasaan yang dilalui oleh Amira. Tentu Amira rasa kecewa kerana dia mengharapkan kerjasama yang baik dalam pasukan yang dipimpinnya. Namun sebaliknya yang berlaku.
Jadi saya kongsikan kepada Amira beberapa perkara penting yang dia perlu tahu dan perlu ada sebagai pemimpin iaitu berkaitan dengan Mindfulness Leadership dimana saya menasihatkan beliau untuk melaksanakan kepimpinan dengan penuh kesedaran. Amira perlu berhati-hati dalam setiap tindakan yang diambil olehnya. Dengan menerapkan mindfulness leadership Amira sebagai pemimpin perlu mengawal respon terhadap sesuatu input sehingga nanti menghasilkan hasil yang lebih tepat. Amira perlu bijak kerana akhirnya natijah dalam kepimpinannya yang akan dipersoal. Sementara itu, untuk menangani isu berkaitan ragam anak buahnya, Amira perlu menyelesaikannya satu persatu dan membuat perjumpaan secara peribadi bagi memberi teguran. Dalam organisasi mungkin hanya seorang dua sahaja yang bermasalah. Masih ramai lagi yang menyokong Amira dan boleh bekerjasama. Pengawalan adalah sangat penting kerana dengan ini Amira sebagai pemimpin dapat memiliki waktu untuk menganalisis sesuatu masalah dan mencari jalan terbaik untuk menghadapi situasi yang terjadi.

Amira harus mampu menguruskan emosi dengan baik, kerana pemimpin yang arif dan bijak adalah dalam kalangan mereka yang dapat mengelola emosi dengan baik. Jangan bertindak mengikut perasaan. Secara idealnya, Amira harus memiliki kemampuan ini agar dapat menjalankan tanggung jawabnya dengan lebih mudah. Jika Amira tidak dapat mengelola emosi dengan baik dan bertindak mengikut perasaan serta mengekspresi dengan cara yang negatif, tentunya banyak perkara buruk yang berlaku dalam kepemimpinannya. Salah satu yang paling buruk adalah Amira perlu berdepan dengan aura lingkungan kerja yang negatif. Maka ini akan mengakibatkan produktiviti tidak dapat dihasilkan dengan baik. Saya juga sempat berpesan kepada Amira, jangan sesekali gagal mengawal emosi kerana orang yang tidak mampu mengelola emosi dengan baik adalah dalam kalangan mereka yang bersikap egois yang sangat sukar dibendung. Sedangkan sikap ini adalah wajib dihindari oleh seorang yang bergelar pemimpin. Ini kerana pemimpin mempunyai tanggungjawab untuk menjaga situasi dalam ruang lingkup kepemimpinannya supaya pasukannya sentiasa dalam keadaan positif.

Selain itu jika Amira mampu mengelola emosi dengan baik setiap keputusan yang dibuat pastinya keputusan yang tepat untuk kepentingan organisasi. Jika memutuskan sesuatu berdasarkan dorongan emosi, tentunya Amira akan berdepan dengan pelbagai risiko yang merugikan. Justeru, Amira perlu sentiasa tenang dengan mengendalikan semua perkara menggunakan akal yang sihat terutama dalam membuat keputusan. Ini kerana kunci utama kejayaan seorang pemimpin adalah menghadapi permasalahan atau krisis dengan tenang serta mengamalkan mindfulness leadership.

Tarikh Input: 28/04/2023 | Kemaskini: 28/04/2023 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEcSAz~