“PANG PANG PIAW” | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » “PANG PANG PIAW”

“PANG PANG PIAW”

Penulis : En. Mohd Redzuan Zamberi K.B,P.A

Pelik tak namanya? “Pang pang Piaw?” “Bahasa Cina ke?”
Ini adalah bunyi permainan ping pong. Saya akan kongsikan satu teknik komunikasi berdasarkan pengalaman saya. Saya sudah praktis banyak kali kaedah ini dan terbukti berkesan.

Kaedah ini diambil dari ilmu NLP (Neuro Linguistik Programming) iaitu Pace-pace-lead. Dalam komunikasi pun sebegini jika kita memahami keunikan manusia kita dapat mempengaruhinya, jadi dapat menundukkannya tanpa sedar.

Saya banyak terpengaruh dengan sebuah buku bertajuk “How To Win Friends And Influence People” penulisnya Dale Carnegie. Dalam permainan pingpong, bila kita bermain rally iaitu secara santai ia dinamakan “Teknik Pang.” Bila kita memulakan hantaran pertama bola kepada lawan, lawan kita pula membalas dengan santai untuk bermain jangka masa panjang, ini juga dinamakan “Teknik Pang” yang kedua.

Dalam komunikasi ia seumpama situasi kita tidak menundukkan lawan, tidak memalukan lawan. Kita berada dalam situasi menang-menang.

Berapa lama? Hanya dua perkataan sahaja iaitu Dua Pujian terhadap lawan sebab itu saya namakan PANG PANG.

PANG 1 = Pujian 1
PANG 2 = Pujian 2

Setiap manusia seperti saya ceritakan pada awal introduksi mengenai manusia suka kepada yang istimewa atau apa yang buat dirinya istimewa ialah ‘Pujian’.

Seberapa tinggi pun darjat, dari peringkat atasan sehinggalah ke peringkat bawahan semuanya sukakan pujian. Ia umpama fitrah dan standard yang sesuai untuk semua golongan. Cuma berhati-hatilah dengan pujian yang melampau atau pujian yang dibuat-buat tidak tepat. Jadi kenalah selidik dahulu dan buat kajian sikit untuk memuji.

Biasanya seorang leader kenal karakter baik stafnya.

Begitu juga pasangan suami isteri yang nak buat teknik komunikasi pang pang ini. Mesti masing-masing tahu kebaikan pasangan. Jadi gunakan fakta itu untuk puji secara ikhlas.

Contoh yang boleh saya berikan di sini antara seorang Ketua (Boss) atau Leader ingin menegur stafnya yang kerap datang lewat ke pejabat.

Contoh :

PANG : “Mat.. maafkan saya.. saya lihat anda ini seorang yang disukai staf lain. Anda seperti ada attraction dan aura positif buat orang suka. Bila Mat ada kat pejabat, kawan-kawan ofis ceria, gelak ketawa.. suasana ofis ceria bila mat ada. Bila mat cuti saya lihat suasana ofis suram dan sunyi.”

Maknanya dalam komunikasi kita menggunakan teknik keselesaan kepada penerima semasa komunikasi. Keadaan ini tidak berlaku apa-apa suasana tegang atau konflik.

Si penerima suka bila “rally” permainan, dalam komunikasi kita memberi masa bertenang kepada penerima untuk bersedia sebelum kita menyampaikan maksud sebenar.

Selepas itu baru masuk bab “PIAW”. Piaw adalah 1 hantaran smash kepada lawan di mana untuk mematikan hantaran lawan bagi mendapatkan mata. Setelah permainan rally berlaku iaitu Pang Pang, barulah Piaw agar kita mendapat mata kemenangan.

Dalam komunikasi cukup sekadar Pang Pang Piaw iaitu puji puji tegur. Puji dua kali kemudian tegur sekali. Cukup setakat itu. Bukan bermain panjang hingga lawan pula piaw akhirnya jadi pertengkaran atau salah menyalah satu sama lain. Piaw ini iaitu teguran perlu ada kemahiran yang betul. Piaw ini akan menentukan si penerima akan menerima dengan baik atau konflik berlaku iaitu si penerima marah dan protes. Pengalaman saya jika menggunakan piaw yang betul akan buatkan suasana harmoni dan selepas itu hubungan terjalin dengan lebih erat lagi. Bagaimana nak gunakan teknik teguran piaw yang betul?

Jika situasi awal tadi seorang ketua ingin menegur stafnya bernama “Mat” yang kerap datang lewat ke pejabat. Fokus piaw adalah untuk memperbaiki kehadirannya, bukan menyindir dirinya dan bukan membandingkan dengan staf lain yang datang awal. Tujuan Piaw adalah memperbaiki agar lebih baik dari perbuatan sebelumnya dengan ayat positif bukan ayat negatif seperti sindiran atau ungkit mengungkit perkara yang lepas.

Jika silap teknik piaw ini akan membuatkan diri penerima akan terguris, marah, tidak setuju dan mula mengenakan piaw terhadap penegur. Akhirnya komunikasi menjadi konflik. Saya beri contoh agar mudah difahami.

PIAW yang tepat : “Mat, saya nak cakap satu je. Semua tentang kamu saya suka cuma jika dapat kamu hadir ke pejabat awal sebelum jam 8 pagi lagi saya suka.”

Mana satu antara dua ayat ini lebih bagus? Kedua-duanya bagus cuma ayat kedua lebih baik kerana tiada penilaian berlaku selepas fakta utama. Fakta utama ialah DATANG AWAL KE PEJABAT SEBELUM PUKUL 8 PAGI. Mesej ini jelas dan dapat difahami menerima. Konflik akan timbul sekiranya mesej tidak disampaikan dengan tepat, tidak meleret-leret, tidak menyindir, tidak memuji diri merasakan lebih baik dari orang yang ditegur dan tidak membandingkan diri yang ditegur dengan orang lain.

Contoh Piaw yang tidak tepat.

PIAW : “Mat.. boleh saya tahu kenapa kamu lewat? Kamu tahu dah 10 kali kamu lewat bulan lepas. Bulan ni pun banyak kali lewat saya boleh kenakan tindakan kepada awak!”

Dalam psikologi tiada siapa yang sempurna. Hari ini kita betul esok barang kali esok kita tersilap. Jika ada perasaan dendam maka kesilapan kita akan dijadikan fakta untuk diprotes kerana kita merasakan kita baik dati segala aspek. Tujuan kita berkomunikasi adalah untuk menyampaikan mesej dengan betul dan tepat. Nyatakan apa yang perlu dibetulkan dengan ringkas tanpa elemen tambahan yang tidak berkaitan.

Hubungan komunikasi perlu jaga sensitiviti agar hubungan terjalin harmoni. Hari ini kita menegur kerana kita sayang kepada saudara kita. Mungkin esok kita ditegur kerana tanpa sedar kita juga lakukan kesilapan.

Itulah indahnya komunikasi. Jika tepat dan betul teknik komunikasinya, kita akan dihormati, disegani, ada aura pengaruh dan paling penting DISAYANGI. Ada staf yang setia dengan kita bukan kerana kedudukan kita, tetapi disebabkan sayang kerana keperibadian kita melalui komunikasi yang ditonjolkan.

Akhlak yang sentiasa menghormati orang lain dan merasakan orang lain hebat dan penting dalam hidup kita. Ini akan membuatkan diri kita dihormati, disukai dan disayangi semula dengan ikhlas.

Tarikh Input: 31/05/2023 | Kemaskini: 31/05/2023 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEcPAV~