‘Perfectionist' Boleh Menjejaskan Kesihatan Mental? | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » ‘Perfectionist' Boleh Menjejaskan Kesihatan Mental?

‘Perfectionist' Boleh Menjejaskan Kesihatan Mental?

Oleh Pn. Kemelia Omar

 

Apa itu ‘perfectionist?’ ‘Perfectionist’ merupakan dorongan terus-menerus dalam diri seseorang untuk mencapai kesempurnaan dalam kehidupannya dalam pekerjaan, keluarga dan pendidikan.

 

Individu ‘perfectionist’ seringkali ingin memberikan imej yang baik kepada semua orang dan menginginkan semua perkara berjalan dengan lancar dan baik tanpa sebarang masalah. Mereka juga mempunyai ‘standard’ dan kualiti kerja yang sangat tinggi sehingga cenderung melakukan perkara yang tidak perlu dan memerlukan masa yang lama untuk menyiapkan tugasan.

 

Seringkali terjadinya salah tanggapan mengenai ‘Perfectionist’. Ramai yang menyangka bahawa sikap seseorang yang “mementingkan kesempurnaan” sebagai Obsessive Compulsive Disorder (OCD), sedangkan terdapat perbezaan di antara keduanya.

 

OCD merupakan penyakit mental yang mempunyai dua komponen utama iaitu obsessif (pemikiran) dan kompulsif (tindakan). Individu yang mengalami OCD seringkali mempunyai pemikiran yang tidak rasional seperti imej atau idea yang berulang-ulang, yang tidak diingini serta boleh mendatangkan keresahan dan kebimbangan. Pemikiran yang sering mengganggu sehinggakan mengakibatkan mereka melakukan tindakan berulang-ulang sebagai langkah untuk mengalihkan perhatian.

 

Untuk memahaminya, berikut merupakan perbezaan di antara ‘perfectionist’ dan OCD :

 

  1. Tahap kemampuan
    • Individu OCD tidak mempunyai kemampuan untuk menghentikan tabiat dan pemikiran yang berulang-ulang.
    • Manakala, ‘perfectionist’ pula melakukan sesuatu tingkah laku berulang hanya semata-mata untuk memuaskan hatinya dan masih boleh dikawal.

 

  1. Tujuan melakukan sesuatu tabiat
    • Individu OCD melakukan tabiat berulang-ulang adalah untuk melegakan kebimbangan dan obsesi yang sedang dirasakan.
    • Manakala, ‘perfectionist’ pula melakukan sesuatu perkara dengan lebih terarah dan terperinci sebagai cara untuk meningkatkan kecekapan dan kesempurnaan.

 

  1. Produktiviti
    • Kesan produktiviti individu OCD akan semakin merosot kerana tabiat mereka boleh menghalang aktiviti seharian.
    • Manakala, kesan produktiviti individu ‘perfectionist’ pula lebih produktif kerana mereka sentiasa mahukan kesempurnaan sesuatu yang lebih daripada biasa.

 

‘Perfectionist’ boleh mengakibatkan seseorang menjadi OCD sekiranya tidak dikawal. Seseorang yang terlalu menginginkan kesempurnaan sebenarnya mempunyai pertanda awal berlakunya OCD apabila seseuatu tugasan itu dianggap “tidak sempurna” dan mula menyebabkan rasa resah dan bimbang.

 

Walaupun kemungkinan di antara kita yang rasa seronok apabila digelar sebagai seorang yang “sempurna”, hakikatnya mengejar kesempurnaan itu boleh mengakibatkan individu tersebut setiap masa sering menyalahkan diri apabila hasil tugasan mereka dianggap “kurang sempurna”.

 

Oleh itu, individu ini dinasihatkan supaya tidak terlalu meletakkan matlamat yang terlalu ekstrim sehingga menyebabkan mereka mengalami perasaan bimbang, stres yang tinggi, insomnia dan pelbagai emosi negatif hanya untuk memastikan semuanya menjadi sempurna.

 

Tarikh Input: 15/12/2021 | Kemaskini: 15/12/2021 | anis_akmil

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEcQAy~