Recharge Diri : Terapi Alam | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » Recharge Diri : Terapi Alam

Recharge Diri : Terapi Alam

Oleh : Puan Wan Azurani Wan Ahmad

RECHARGE DIRI yang dimaksudkan di sini ialah suntikan MOTIVASI DIRI. Perumpamaan ini di berikan khusus bagi setiap diri kita walau apa jua peranan agar kita sentiasa memberikan suntikan motivasi kepada diri sendiri setelah menempuhi pelbagai aktiviti harian dalam kehidupan. Topik Recharde Diri ini pernah ditulis oleh saya di ruangan kapsul psikologi di FB BKUPM dan penulisan kali ini lebih mengkhusus kepada salah satu terapi untuk recharge diri iaitu Terapi Alam.

Apa itu terapi alam? Terapi adalah rawatan kepada sesuatu penyakit fizikal atau mental secara proses pe­mulihan tanpa penggunaan ubat atau pembedahan. Manakala alam merujuk kepada alam sekitar, iaitu segala benda hidup dan bukan hidup yang wujud secara semula jadi di permukaan bumi, atau sebahagian daripadanya. Alam sekitar juga boleh dipanggil flora dan fauna.

Menurut Haliza Abdul Rahman, 2019, selain rawatan melalui ubat-ubatan, alam semula jadi mampu berperanan serta bertindak sebagai terapi terhadap permasalahan kesihatan mental yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat. Hal ini kerana alam semula jadi dengan suasana dan sifatnya dapat membantu mengurangkan tekanan, meningkatkan perhatian, menggalakkan kreativiti serta meningkatkan harga diri seseorang individu. Justeru, ia mampu memberi ketenangan hati dan minda seterusnya berupaya merawat permasalahan kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.

Menurut Daljit Singh Karam, 2017, menerusi artikel beliau bertajuk ‘Terapi Hutan untuk Pesakit Psikiatrik’ , terapi hutan merupakan salah satu kaedah yang dipraktikkan di negara maju seperti Jepun, negara-negara Eropah dan Amerika Utara dalam membantu mengurangkan masalah tekanan yang dialami pesakit mental. Hutan yang merupakan alam semulajadi merupakan tempat yang boleh memberikan ketenangan. Menurut beliau juga, terapi hutan bukan sahaja salah satu kaedah alternatif dalam membantu menangani masalah kesihatan mental bahkan juga tidak memerlukan kos yang tinggi.

Justeru, terapi alam dilihat bukan sahaja boleh menjadi alternatif rawatan bagi merehatkan minda kepada individu yang mengalami gangguan kesihatan mental, bahkan boleh menjadi satu alternatif bagi mewujudkan ketenangan dan menyumbang kepada mental yang sihat seterusnya sebagai sumber motivasi kepada sesiapa sahaja khususnya kepada penggemar alam.

Terapi alam menjadikan individu  menghargai setiap makhluk. Setiap makhluk yang Allah ciptakan mempumyai fungsi dan keunikan sendiri. Dari sekecil-kecil zarah hingga ke semua makhluk yang boleh dilihat dengan mata kasar adalah unik dan bukti kekuasaan Pencipta.  Jika kita teliti, setiap jenis flora dan fauna termasuklah gunung-ganang, bukit-bukau, pokok-pokok, burung-burung adalah sangat unik dan cantik dengan pelbagai warna, corak sehingga kita sendiri tidak dapat gambar dan bayangkan keunikannya.

Dilihat kepada setiap ciptaan, boleh menginsafkan diri, bahawa diri ini hanya salah satu ciptaan dari beribu, berjuta bahkan infiniti makhlukNya. Secara tidak langsung, boleh menginsafkan diri, menjadikan kita menghargai diri dan setiap makhluk yang turut sama menghuni bumi.

Terapi alam mewujudkan rasa syukur. Apabila kita menghargai semua di sekeliling kita, akan timbul rasa syukur dengan apa yang kita ada. Dengan rasa ini menjadikan naluri, emosi dan jiwa kita lebih tenang dan redha.  

Terapi alam memberikan kita rasa tenang. Terapi bersama warna warni flora dan fauna dengan keindahan semulajadi memberikan terapi buat mata, hati dan minda. Contohnya kehijauan dedaunan pokok, menimbulkan rasa kedamaian, keseronokan, kebahagiaan, kesegaran dan ketenangan. Relaks minda seketika dan hayati kehijauan warna alam untuk merehatkan mata dan menenangkan minda. Mata menyaksikan sambil dihati mensyukuri di atas segala nikmat yang telah dikurniakan oleh Maha Pencipta.

Bagaimana terapi ini boleh diaplikasi? Manfaat dan peruntukkan masa untuk diri bersama alam. Aktiviti menanam, melihat, meneroka memberikan kita masa bersama alam, bahkan sekaligus memberikan terapi untuk mengalihkan dan merehatkan seketika pemikiran tentang kesibukan-kesibukan lain. Ianya mampu mengurangkan rasa tekanan dan menambah seri kepada emosi yang lebih positif. Tidak hairanlah kalau ketika ini, khususnya dalam keadaan terkesan dengan  pandemik Covid-19, aktiviti bertanam, berlari (jogging), mendaki bukit (hiking), berbasikal,  menjadi antara aktiviti ‘viral’ yang dilakukan oleh rakyat Malaysia. Ianya bukan sahaja antara aktiviti sihat kepada tubuh badan, bahkan memberikan minda yang sihat, produktif dan berkualiti.

Secara kesimpulannya, sebagai seorang manusia, kita perlu menjaga keseluruhan kefungsian kita dengan baik dan sempurna. Bagi memberikan kehidupan berkualiti kepada diri dan orang lain, selfcare adalah sangat penting. Pelbagai aspek perlu diseimbangkan dan dijaga dengan baik.  Jasmani, Emosi, Spiritual, Intelektual perlu selari. Fitrah manusia akan kembali kepada pencipta. RECHARGE diri, moga mampu memberikan motivasi yang lebih baik kepada diri agar dapat menyumbang kepada diri dan orang lain dengan lebih berkualiti.

 

Sumber rujukan :

  1. Haliza Abdul Rahman, UPM, 2019. Alam Sekitar Sebagai Terapi Alternatif Kesihatan Mental. Jurnal Psikologi dan Kesihatan Sosial (JPsiKS). Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial.
  2. Daljit Singh Karam, UPM, 2017. Terapi Hutan untuk Pesakit Psikiatrik. Berita Harian1 Ogos 2017.

Tarikh Input: 21/12/2020 | Kemaskini: 24/08/2021 | anis_akmil

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEdCA2~