TEKANAN DI TEMPAT KERJA, SEMAKIN HARI SEMAKIN PARAH | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » TEKANAN DI TEMPAT KERJA, SEMAKIN HARI SEMAKIN PARAH

TEKANAN DI TEMPAT KERJA, SEMAKIN HARI SEMAKIN PARAH

Penulis : Izwana binti Ismail K.B,P.A

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita seorang anggota polis menembak isterinya. Selain daripada berita tersebut, ada beberapa lagi kisah tragis yang berlaku yang menggemparkan negara kita. Apabila diselidiki, didapati bahawa mereka mengalami tekanan di tempat kerja. Mungkin ramai di antara kita yang masih tidak sedar kepentingan kesihatan mental di tempat kerja bagi menghasilkan suasana yang selamat, kondusif dan produktif. Sebenarnya, perkara ini amat penting kerana ramai pakar yang telah memberi amaran bahawa penyakit mental bakal menjadi masalah kesihatan kedua terbesar di Malaysia selepas penyakit jantung.

 

Masalah ini bertambah rumit apabila kurangnya pendedahan pengetahuan berkaitan bahaya penyakit ini dalam kalangan masyarakat menyebabkan ramai memilih tidak mendapatkan rawatan atau hanya merawat secara tradisional.

 

Kini, sememangnya terdapat peningkatan ketara masalah berkaitan tekanan perasaan di tempat kerja. Peningkatan itu disebabkan tekanan hidup yang semakin mencabar, terutamanya di kawasan bandar-bandar besar. 

 

Perlu diingatkan, pekerja yang tertekan bukan sahaja akan memperlahankan produktiviti, tetapi juga menyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan dan kecederaan di tempat kerja. Justeru, ia juga akan mengancam keselamatan dan keharmonian keluarga. 

 

Oleh itu, menangani tekanan kerja dan risiko psikososial sepatutnya dijadikan sebahagian daripada strategi keselamatan dan kesihatan untuk mengurangkan kemalangan dan kecederaan di tempat kerja.

 

Terdapat banyak faktor penyumbang kepada tekanan di tempat kerja iaitu beban kerja yang melampau, masalah atau konflik di kalangan pekerja, kurangnya sokongan daripada pihak atasan, kelemahan organisasi itu sendiri dan juga kurang keyakinan diri terhadap masa hadapan. 

 

Lebih memburukkan keadaan apabila pihak majikan dan pengurusan turut menafikan hak pekerja untuk mendapatkan keseimbangan di antara pekerjaan dan kehidupan. Justeru, adalah penting bagi setiap organisasi untuk merangka pelan mengurangkan tekanan dengan menyediakan persekitaran kerja yang sihat.

 

Masalah kemurungan dipercayai menjadi punca utama kepada penyakit mental dan kebelakangan ini, media melaporkan banyak kes bunuh diri, mencederakan diri atau orang lain. Kemurungan kronik yang antaranya disebabkan tekanan hidup boleh menyebabkan pesakit mengalami halusinasi dan keinginan mencederakan atau membunuh diri, sekiranya tidak dirawat segera. 

 

Tindakan menyisihkan pesakit mental akan memburukkan lagi keadaan pesakit. Jangan sisihkan kerana mereka ini sakit tetapi bantulah mereka untuk mencari diri dengan bantuan rawatan dan pengambilan ubat bersesuaian. Penyakit ini mengambil masa beberapa bulan sehingga tiga tahun untuk menunjukkan perubahan dari segi pemikiran, emosi dan tingkah laku pesakit.

 

Sesungguhnya fokus dan pelaburan untuk kesihatan mental dan emosi pekerja pasti memberikan pulangan positif pada masa akan datang kerana mampu mewujudkan tenaga kerja yang sihat mental dan fizikal serta produktif.

Tarikh Input: 30/08/2023 | Kemaskini: 30/08/2023 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEcTA2~