TIP S.M.A.R.T. KEWANGAN | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » TIP S.M.A.R.T. KEWANGAN

TIP S.M.A.R.T. KEWANGAN

Oleh : Mohamad Ashaari bin Awab K.B.;P.A.


Setiap daripada kita pastinya pernah terfikir untuk mempunyai simpanan untuk kegunaan tertentu pada masa hadapan. Ia boleh dikatakan sebagai matlamat simpanan atau matlamat kewangan. Antara matlamat kewangan yang paling popular adalah matlamat untuk simpanan tabung perkahwinan, tabung kecemasan, simpanan untuk dana Pendidikan anak-anak, tabungan untuk pembelian rumah pertama dan juga tabung persaraan. Ramai juga yang telah memulakan simpanan namun akhirnya putus asa atau gagal meneruskan simpanan. Bagaimana untuk mengelakkan perkara ini berterusan? Haa.. di sini penulis ingin berkongsi tips agar perkara kegagalan anda tidak berterusan. Tip ini dinamakan ‘SMART Kewangan’. Apa itu SMART Kewangan?. Ia adalah perancangan simpanan yang teratur dan efektif. Baiklah, saya berikan situasi seperti ini ; Encik Haniff ingin mempunyai simpanan kecemasan. Jadi bagaimana Encik Haniff ingin mencapai matlamat kewangan tersebut?. Matlamat ini boleh dicapai dengan mengikuti empat langkah berikut;

1. S = Specific
Langkah yang pertama, matlamat kewangan haruslah jelas dan spesifik. Ia adalah untuk memudahkan kita untuk fokus dengan apa yang ingin dicapai. Sebagai contoh, “saya akan ada simpanan kecemasan” adalah lebih spesifik berbanding “saya akan ada simpanan yang cukup”.

2. M = Measureable
Langkah kedua, matlamat kewangan haruslah nilai yang boleh diukur dengan jelas.Ia bagi membolehkan kita untuk mengukur sejauh mana matlamat simpanan itu telah dicapai seterusnya memudahkan kita untuk menilai perkembangan matlamat kewangan. Contohnya “saya akan ada simpanan kecemasan tiga bulan pendapatan” ia lebih mudah diukur berbanding “saya akan ada dana kecemasan”.

3. A = Achievable dan R = Realistik
Langkah seterusnya adalah, matlamat kewangan perlulah sesuatu yang mudah untuk dicapai dan realistik. Sebagai contoh, Encik Lufti dengan pendapatan RM 3000 sebulan ingin menyimpan untuk membina tabung kecemasan 3 bulan beliau. Jadi, bagaimana ingin menjadikan matlamat kewangan beliau akan mudah dicapai dan ia sesuatu perkara yang realistik? Mudah sahaja, beliau hanya perlu menetapkan nilai simpanan bulanan mengikut formula yang disarankan ramai pakar kewangan iaitu, simpanan bulanan sebanyak 10% dari pendapatan bulanan.
Contohnya, “Saya akan ada simpanan kecemasan 3 bulan pendapatan dengan menyimpan 10% daripada pendapatan saya setiap bulan” adalah sesuatu yang mudah untuk dicapai dan realistik berbanding “Saya akan ada simpanan kecemasan 3 bulan pendapatan dengan menyimpan 70% daripada pendapatan saya setiap bulan”.

4. T = Time-bound
Langkah yang terakhir pula adalah, matlamat kewangan yang dibuat haruslah mempunyai tempoh masa yang jelas bagi menetapkan bilakah matlamat kewangan itu akan dicapai. Contohnya, “Saya akan ada simpanan kecemasan 3 bulan pendapatan dengan menyimpan 10% daripada pendapatan saya setiap bulan bagi tempoh 30 bulan”.

Secara kesimpulannya, matlamat kewangan akan lebih mudah dicapai sekiranya kita mempunyai matlamat yang spesifik, boleh diukur, mudah dicapai, nilai yang realistik dan juga menetapkan tempoh masa. Selamat mencuba.

 

Tarikh Input: 27/02/2024 | Kemaskini: 27/02/2024 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEbPAS~