Tips Mudah Berfikiran Positif | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » Tips Mudah Berfikiran Positif

Tips Mudah Berfikiran Positif

Oleh : Pn. Anis Akmilah Mat Hassan

 

 

Dalam bual bicara santai, sering kita dengar istilah fikirlah positif. Namun sejauh mana kebenaran kebaikan berfikiran positif itu memberi kesan yang baik kepada diri kita. Penulisan yang dikongsikan melalui hellodoktor.com oleh Helma Hassan dan Dr. Amy Kor (2020) mengatakan bahawa seseorang individu mampu hidup lebih lama hanya dengan berfikiran positif. Menurutnya lagi berfikiran positif juga boleh memberikan kesan jangka panjang kepada usia anda. Mereka yang menganggap proses penuaan mereka secara positif hidup secara purata 7.5 tahun lebih lama. Hal ini menunjukkan kesan berfikiran positif memberikan kesan yang baik kepada keupayaan fizikal dan kesihatan seseorang. Dalam konteks psikologi pula, kesan positif memberi impak positif kepada mood serta emosi dan tingkah laku seseorang. Apabila seseorang berfikir positif secara tidak langsung mereka membebaskan diri daripada berada dalam keadaan tertekan dan keresahan yang melampau. Apabila seseorang dapat mengekalkan keseimbangan emosi pasti juga akan memberi impak yang positif kepada tingkah lakunya. Oleh itu jom kita teliti tip untuk menggalakkan diri sentiasa berfikiran positif !

  

  1. Berbicara dengan Diri (Self Talk)

Sentiasalah berbicara dengan diri sendiri. Apabila berbicara dengan diri mengenai perkara yang berlaku membuka pandangan sesoerang ke arah yang lebih baik. Biasakan menyoal kepada diri- Apa? Bagaimana? Kesan? Soalan-soalan terbuka sebegini membantu seseorang untuk melihat sesuatu perkara melalui sisi yang berbeza.  

 

  1. Alihkan perhatian

Mengalih perhatian anda apabila fikiran mula meneroka ke arah negatif. Biasakan diri dengan perkara-perkara yang positif supaya anda boleh membawa fikiran anda ke arah yang positif. Biasakan diri mendapatkan penyelesaian berbanding mencari kesalahan.

 

  1. Terima (Acceptance)

Apabila sesuatu berlaku bukan mengikut kehendak anda, belajar untuk terima hasil daripada usaha yang telah dilakukan. Fokus kepada usaha yang dibuat bukanlah perkara yang sia-sia tetapi usaha yang telah dibuat telah mematangkan anda.

 

  1. Redha

Istilah redha ini berbeza dengan pasrah. Redha bermaksud anda telah berserah segalanya kepada Tuhan tentang apa yang akan berlaku. Malah anda juga terbuka untuk menerima apa sahaja yang akan berlaku pada masa akan datang. Sikap redha ini adalah signifikan dilakukan selepas segala usaha yang telah dilakukan dan kemudian anda redha. Dengan itu, hati dan fikiran anda berada dalam mod positif. Keresahan juga berkurangan.

Tarikh Input: 21/12/2022 | Kemaskini: 21/12/2022 | anis_akmil

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEcIAV~