Usah Takut Kepada Penolakan | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » Usah Takut Kepada Penolakan

Usah Takut Kepada Penolakan

Penulis : Haniff Abdullah Hashim, Pegawai Psikologi Bahagian Kaunseling UPM

Penolakan itu ibarat seni pertempuran. Saban hari sebagai manusia dewasa. Malahan mungkin pada setiap pelbagai peringkat umur. Kita berhadapan dengan keperluan membuat sesuatu keputusan. Keputusan yang dibuat memungkinkan penolakan berlaku. Jadi mahu atau tidak, kita perlu berhadapan dengan penolakan tersebut. Menariknya penolakan ini umpama kita seperti sedang bermain dengan permainan video atas talian. Apabila kita sudah menempuhi satu tahap (level), kita akan bermain di tahap (level) lebih sukar. Jadi semakin tinggi matlamat seseorang, semakin besar kemunghkinan penolakan boleh berlaku.

Apabila kita melihat kejayaan seseorang. Tanyakan padanya berapa banyak penolakan telah dihadapi . Penolakan ini boleh jadi tentangan keluarga, tidak diterima bekerja, kritikan, ejekan atau apa sahaja peristiwa yang boleh melemahkan itu dikategorikan sebagai penolakan (rejection). Penolakan adalah sesuatu yang pahit, itu tidak dinafikan. Namun apa yang lebih penting adalah kebangkitan setelah sesuatu penolakan.

Penolakan adalah satu latihan

Penerimaan penolakan adalah latihan terbaik untuk emosi. Apabila penolakan terjadi minda akan membuat penaksiran sama ada positif atau negatif. Pada ketika ini, individu perlu memilih pemikiran yang bagaimana mahu disampaikan kepada emosi. Sifirnya mudah, andai pemikiran negatif maka emosi akan jadi negatif. Kiranya memilih untuk berfikir secara rasional, maka emosi akan lebih positif. Pada akhirnya pemikiran dan emosi akan berintergrasi menghasilkan daya tindak (tingkah laku). Pemikiran rasional akan mencari jalan kreatif untuk mengatasi penolakan pada masa akan datang. Manakala pemikiran tidak rasional akan menatijahkan pengunduran dan ketakutan untuk mencuba.

Penolakan melatih pemikiran lebih kreatif. Penolakan itu boleh diumpamakan seperti alat-alat membina otot di gymnasium. Setiap alat mempunyai fungsi membina otot yang berbeza. Manakala setiap penolakan menghasilkan daya tahan pemikiran dalam aspek berbeza. Jadi apabila berhadapan dengan penolakan, hadapinya seperti anda seperti melatih diri di gymnasium. Namun perlu berhati-hati jangan cuba berhadapan dengan penolakan yang besar andai anda belum cukup persediaan. Cuba hadapi penolakan tahap demi tahap. Mencuba peralatan gymnasium terus kepada tahap tertinggi boleh mencederakan otot anda. Manakala berhadapan dengan penolakan yang besar dalam keadaan andat tidak bersedia boleh mencederakan emosi anda. Maka cuba latih diri anda dari satu ke tahap yang lain.

Penolakan adalah seni berfikir.

Penolakan kadangkala hadir dalam bentuk tidak dijangka. Ambil contoh penolakan dalam temuduga kerja. Kita sudah membuat persiapan awal, menyusun segala dokumen dan mempunyai keyakinan tinggi akan mendapat tempat dalam pekerjaan tersebut. Namun apabila keputusan dikeluarkan kita tidak diterima. Menambah sakit di hati, individu yang diterima mempunyai kelayakan kurang berbanding diri kita. Jadi bolehlah dikatakan penolakan itu bersifat subjektif dan perlu ditanggapi dengan pemikiran yang subjektif. Oleh itu, apabila penolakan terjadi.

Maka individu wajib  mencari jalan paling kreatif untuk menerima keadaan tersebut. Mencuba mencari pekerjaan lain, menukar bidang pengkhususan, mengintai peluang kerja di luar negara atau meningkatkan kemahiran. Ini adalah seni berfikir, tidak hanya berfikir dalam satu arah sahaja.

Seni berfikir dalam erti kata melukis kehidupan dalam sempadan kanvas sendiri. Menyalahkan persekitaran dan orang lain seperti cuba melukis di kanvas orang lain. Perbuatan ini tidak akan berjaya, malah penuh dengan halangan dan cercaan. Penyudahnya menghasilkan kesan buruk pada diri sendiri. Cuba kawal perkara yang anda boleh kawal iaitu diri sendiri. Persekitaran dan masyarakat adalah diluar kawalan. Anda tidak akan mampu mengawal semua orang lain berdasarkan kehendak anda. Cuba corakkan kanvas kehidupan anda dengan lebih warna mempersonakan setelah menerima sesuatu penolakan.

Penolakan bukan penamat tetapi penguat.

Sejarah membuktikan bahawa dunia dikuasai oleh mereka berani. Berani berhadapan dengan penolakan. Berikut adalah beberapa penolakan epik yang menghasilkan impak besar kepada individu atau dunia.

Islam berkembang dengan penolakan

Pada ketika umur Rasullah SAW 40 tahun Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul. 13 tahun berdakwah di Mekah dan ditolak majoriti masyarakat. Rasullah SAW berhijrah ke Madinah membina masyarakat dan menyusun strategi. Persoalannya adakah Islam akan berkembang seperti hari ini sekiranya Rasullah SAW berputus asa, dan menerima sahaja penolakan penolakan dari kaum musyrikin Mekah.

Maka strategi setelah berhadapan penolakan itu penting. Garis panduan, ilmu, batasan/limitasi, kekuatan, kesabaran, keredhaan dan nilai-nilai positif lain perlu diintegrasikan bagi mencapai matlamat.

Jack Ma Billionaire dan pengasas Ali Baba

Anda bayangkan 24 orang memohon satu kerja. Kemudian 23 diterima dan anda satu-satunya tidak diterima anda. Apa perasaan anda, terasa diri sangat teruk bukan? Itulah yang dihadapi oleh Jack Ma apabila memohon kerja dengan syarikat Ayam goreng segera KFC. Namun sebalik penolakan tersebut Jack Ma menyusun strategi lain. Hinggalah tertutubuhnya empayar Ali Baba. Andai dia diterima berkemungkinan empayar Ali Baba mungkin tidak wujud sekarang.

JK Rowling dan Pengkisahan harry Porter

Harry Porter adalah satu fenomena. Namun andai JK Rowling berputus asa, merasakan dirinya teruk, penulisannya tidak bagus maka kita tidak akan dapat menikmati kisah sama Novel atau Filem Harry Porter seperti hari ini. Manuskrip Harry Potter di tolak oleh 12 penerbit. Penolakan bukan bererti tidak bagus, sebaliknya mungkin kerana penilaian manusia bersifat subjektif. Kini JK Rowling mengutip hasil dari penulisannya yang bernilai jutaan Dollar.

Bersediakah kita?

Maka setelah membaca artikel ini. Adakah anda bersedia untuk ditolak. Penolakan itu latihan menguatkan pemikiran, emosi dan tindakan anda. Menghasilkan pemikiran dan tindakan yang kreatif perlu disokong emosi yang stabil. Emosi selalu tewas dengan penolakan. Oleh itu bagi menguatkan emosi pemikiran perlu rasional.

Jadi tunggu apa lagi siapkan diri anda. Hadapi realiti dunia. Bersedia berhadapan dengan penolakan. Katakan tidak pada kerja asal-asalan, mensia-siakan masa dan bersemuka dengan cabaran tanpa rasa gentar akan ditolak lagi.

Tarikh Input: 10/12/2020 | Kemaskini: 23/08/2021 | anis_akmil

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEcPA7~