WANITA DAN KERJAYA | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » WANITA DAN KERJAYA

WANITA DAN KERJAYA

Penulis : Wan Azurani binti Wan Ahmad K.B,P.A

 

Artikel ini adalah berdasarkan pembacaan penulis terhadap isu cabaran semasa wanita berkerjaya.  Pembacaan daripada sebuah artikel yang bertajuk ‘Perspektif : Realiti dan Cabaran Wanita Bekerjaya’ dikupas mengikut pandangan peribadi penulis yang mana kandungan dan pengajaran yang disampaikan di dalam artikel tersebut dilihat sangat memberikan input berguna khususnya bagi wanita berkerjaya masa kini.

 

Konsep Keseimbangan Antara Kerjaya dan Kehidupan peribadi

 

Menurut Nor Asmah Zakaria (2020), berdasarkan kajian tinjauan yang dibuat oleh Linkedin Learning (2019) terhadap 2,843 responden golongan profesional menunjukkan bahawa 49 peratus daripada mereka dilaporkan mengalami tekanan dalam pekerjaan mereka. Kajian tersebut menunjukkan bahawa pekerja mengalami tekanan akibat kesukaran untuk mencapai keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi. Keseimbangan ini adalah berbeza bagi setiap individu kerana kita semua mempunyai keutamaan dan kehidupan yang tidak sama. Menurutnya lagi, pencapaian dan nikmat kegembiraan yang dicapai setiap hari itu adalah kunci utama dalam mencari titik keseimbangan.

 

Zaman Berubah, Realiti Perkembangan Wanita Dahulu dan Sekarang 

 

Memetik laporan yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 15 Julai 2019, jumlah penduduk perempuan adalah sebanyak 15.8 juta orang manakala lelaki pula 1 juta orang lebih ramai berbanding perempuan iaitu 16.8 juta orang. Nisbah jantina pula adalah 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan. 

Berita Harian Online bertarikh 8 Mac 2019 menyebut dalam petikannya, peranan wanita dilihat begitu penting dan telah membentuk separuh penduduk negara. Tambahan pula, kita telah menyaksikan bahawa wanita kini tidak lagi terhad menggalas tugas dan tanggungjawab di rumah semata-mata. Bahkan, golongan wanita kini juga dilihat telah menceburi bidang kerja yang sebelum ini dikuasai oleh lelaki setanding dengan tahap pencapaian pendidikan yang dimiliki. 

Di samping itu, ramai wanita telah berjaya mencapai potensi diri dan membantu mengukuhkan ekonomi keluarga dan negara. Senario ini berbeza berbanding kehidupan wanita masa lampau yang seringkali dikaitkan dengan tanggung jawab menguruskan keluarga dan rumah tangga sahaja. Dunia mereka hanyalah di rumah dikelilingi ibu bapa dan adik-beradik. Bagi yang telah berkahwin pula, menjadi tanggungjawab mereka untuk berada di sisi suami, anak-anak dan mertua. Namun begitu, wanita dilihat semakin bertambah dari semasa ke semasa apatah lagi mempunyai tahap pendidikan tinggi serta ada yang menyandang jawatan penting dalam bidang profesional. 

 

Peningkatan kemajuan ilmu dan teknologi telah sedikit sebanyak melonjakkan bidang sektor tenaga kerja tanpa mengira status dan jantina. Penglibatan wanita dalam pelbagai aspek pembangunan negara sememangnya tidak dapat dipertikaikan lagi. Hampir setiap sektor sama ada ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, politik, perubatan, keselamatan, pentadbiran, perdagangan dan sebagainya telah diceburi oleh kaum wanita. 

 

Oleh itu, kemampuan wanita kini terbukti hampir menyamai golongan lelaki kecuali dari sudut fizikal. Walaupun begitu, setinggi mana pangkat dan status kerjaya mereka, tanggungjawab terhadap keluarga tetap menjadi keutamaan. 

 

Tekanan antara Tuntutan Tanggungjawab Keluarga dan Tugas

 

Golongan wanita sering kali dilihat sentiasa berhadapan dengan konflik keseimbangan antara keluarga dan kerjaya terutamanya bagi mereka yang telah berumah tangga (Fatimah Abdullah, 1985). Lebih-lebih lagi, wanita yang bekerja banyak menghabiskan masa mereka dengan rutin harian yang padat. Mereka harus bangun seawal pagi bagi menguruskan anak dan keluarga, keluar bekerja dengan purata masa lapan hingga sepuluh jam sehari, balik ke rumah lewat petang atau awal malam dan terus menyambung tugasan sebagai seorang isteri dan ibu. Senario ini telah menyebabkan badan akan menjadi terlalu penat, letih dan emosi penuh ketegangan sehinggakan ada yang mengabaikan suami dan anak-anak. 

 

Menurut Nurul Naimah Rose dan Mohd Yusri Mustafa (2018) lagi, antara punca yang mendorong ke arah tekanan adalah disebabkan oleh kurang masa terluang untuk keluarga dan diri sendiri, tugasan rumah yang berlebihan (seperti disebut dalam Bird, 1999), isu penjagaan anak, kurang komunikasi dengan pasangan dan keletihan (seperti disebut dalam Glass dan Fujimoto, 1994).

 

Menurut  Tan Sri Lee Lam Thye, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan penaung Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) dalam Astro Awani pada 21 Februari 2019, isu tekanan di tempat kerja adalah sangat penting dan harus diatasi. Jelas beliau lagi, tahap kesedaran tentang kesihatan mental di tempat kerja dilihat masih rendah. Justeru, majikan perlu mengambil berat soal kesihatan mental pekerjanya agar risiko tekanan emosi dapat dielakkan. Selain itu, kurangnya sokongan daripada rakan sekerja dan majikan juga merupakan antara punca berlakunya tekanan. Antara bentuk tekanan yang kerap berlaku adalah seperti kes buli di tempat kerja dan tidak diberi peluang untuk kenaikan pangkat. Malahan, ada yang menerima penderaan secara emosi seperti disindir, gangguan seksual, persekitaran kerja toksik, waktu kerja terlalu panjang sehingga tiada masa untuk rehat dan sukar mengambil cuti. Bukan itu sahaja, sesebuah organisasi perlu memastikan pekerjanya tidak terbeban dengan tugasan yang berlebihan. Tekanan boleh berlaku dalam pelbagai cara dan bentuk. Antaranya, apabila pekerja diberikan tugasan baharu yang di luar kepakaran dan skop kerja, mereka terpaksa mempelajari skop kerja tersebut bahkan dalam masa sama perlu berhadapan dengan harapan pihak majikan. Dalam konteks ini, ketidakseimbangan untuk menyesuaikan diri dengan skop kerja baharu ini boleh mengundang konflik dan tekanan kerana seseorang pekerja merasa terbeban dengan tugasan sehingga tidak dapat membahagikan masa secukupnya bersama keluarga. Hal ini secara tidak langsung akan menyebabkan ketidakpuasan hati dan memberi kesan kepada kesihatan malah prestasi dan produktiviti kerja turut terjejas (Sharifah Hayaati Syed Ismail, 2017). 

 

Oleh yang demikian, kerajaan sentiasa memelihara hak dan kepentingan wanita agar dilindungi dan memelihara kebajikan serta meningkatkan penyertaan aktif mereka dalam pelbagai sektor pekerjaan antaranya pendidikan, ekonomi, sosial, kesihatan dan politik. 

 

Secara kesimpulannya, cabaran yang perlu dihadapi oleh wanita bekerja bukannya mudah. Ianya memerlukan kefahaman dan toleransi dari semua pihak agar wanita bekerja dapat bergerak maju setanding tanpa mengira gender. Kebijaksanaan dalam menangani emosi, tekanan di tempat kerja sejajar dengan tanggung jawab adalah merupakan tunjang utama dalam kesejahteraan mereka.    

 

Sumber:  Norasmah Zakaria (2020). Perspektif : Realiti dan cabaran wanita berkerjaya. https://www.tsis.my/wp-content/uploads/2020/05/PERSPEKTIF-Realiti-dan-Cabaran-Wanita-Bekerjaya-1.pdf

Tarikh Input: 29/06/2023 | Kemaskini: 29/06/2023 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEcTAK~