Pra AKRAB UPM Menyantuni Anak Yatim Dan Asnaf Rumah Bakti Nur Ain, Bangi | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» BERITA » Pra AKRAB UPM Menyantuni Anak Yatim dan Asnaf Rumah Bakti Nur Ain, Bangi

Pra AKRAB UPM Menyantuni Anak Yatim dan Asnaf Rumah Bakti Nur Ain, Bangi

UPM SERDANG- 22 Okt : Seksyen Kaunseling Pekerja, Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (BKUPM) dengan kerjasama ahli Pra AKRAB UPM 2022 telah menganjurkan Program Khidmat Komuniti bersama anak yatim dan asnaf dari Rumah Bakti Nur Ain, Bangi pada 22 Oktober 2022 (Sabtu). Program ini turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Pendaftar, WAZAN UPM, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Fakulti Pendidikan (FPP) Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Program khidmat komuniti ini bertujuan untuk memperkasa khidmat masyarakat dan memberi motivasi kepada peserta. Selain itu, program ini bertujuan untuk memberi pengalaman dan pengetahuan berkaitan dengan pendidikan di UPM serta memberi pendedahan dan ruang kepada ahli AKRAB untuk membuat perkongsian serta mengaplikasikan ilmu yang telah diperolehi dalam kursus Pra Akrab Tahap 1 dan 2 yang telah dihadiri selama enam hari.

 

 

Pelbagai pengisian menarik telah dilaksanakan khusus untuk peserta. Antaranya, peserta telah terlibat sama dalam program Senamrobik Perdana bertempat di Dataran Kolej 17, Kolej Mustaffa Babjee (KMB). Program ini merupakan anjuran Bahagian Kaunseling UPM dengan kerjasama Kolej Mustaffa Babjee.

Aktiviti seterusnya, peserta telah dibawa melawat ke Muzium Anatomi, FPSK. Di sana, para peserta diberi pendedahan maklumat berkaitan tentang kesihatan manusia iaitu melalui spesimen organ manusia yang sebenar, poster-poster kesihatan serta model rangka manusia buatan. Di samping itu juga, peserta diberi peluang untuk menyertai pelbagai aktiviti yang bermanfaat dengan dibantu fasilitator fakulti.

Pada sebelah petang, peserta dibawa ke Putra Future Classroom di FPP bagi memberi pendedahan dan menikmati suasana kelas yang terdapat di UPM. Di samping itu, ahli pra AKRAB melaksanakan sesi bimbingan secara individu dan berkumpulan.

Seterusnya, Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Mazila Ghazali, Ketua Bahagian Kaunseling UPM dan diiringi oleh Dr. Azlina Mohd Khir, Pengarah Program serta Encik Ahmad Kazim Aquino Syahril selaku Pengurus Rumah Bakti Nur Ain. Turut hadir di Majlis Perasmian tersebut ialah Encik Mohamad Ashaari Awab, Ketua Seksyen Kaunseling Pekerja dan Puan Noorihayatti Noorudin, Penyelaras AKRAB UPM.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan kewangan dan barangan kepada 25 orang anak yatim dan asnaf serta sumbangan khusus untuk rumah bakti. Sumbangan ini adalah hasil daripada pelbagai pihak.

Menurut Puan Noorihayatti Noorudin, diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan untuk memupuk semangat dan memberi manfaat kepada komuniti serta memberi peluang kepada ahli pra AKRAB untuk terus menyumbang kepakaran, pemindahan ilmu serta khidmat masyarakat.

Tarikh Input: 01/11/2022 | Kemaskini: 01/11/2022 | anis_akmil

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEeRAL~